Masalah Berganda

Sebab blog kali ni berkaitan dengan konsert artis Melayu tempatan, aku rasa baik guna saja bahasa Melayu. Tapi agak janggal kalau tulis secara baku. Aku bukan nak buat laporan kat surat khabar Utusan pun. Segalanya bermula beberapa minggu lepas selepas aku perasan kat surat khabar ada iklan pasal konsert Double Trouble, gabungan dua legenda rock tempatan Search dan Wings.

Gua beli tiket ni, beb

Gua beli tiket ni, beb

Walaupun aku ni boleh dikategorikan sebagai otaku tempatan, tapi aku tetap minat lagu-lagu rock macam ni gak. Nak bandingkan dengan lagu-lagu tahyul melayu zaman sekarang, memang cam taik. Ada la jugak yang mampu menerjah ke dalam saluran telinga aku sambil menggegarkan gegendang secara rancak. Cuma dah biasa sangat dengar lagu-lagu dari negara matahari terbit yang selalunya terlebih hebat dari segi penggunaan alatan. Digandingkan dengan artis-artis mereka yang comel belaka sambil cerita-cerita animasi yang sangat mengagumkan memang membuatkan aku terlupa pasal negara sendiri. Walaupun begitu, aku dan kawan-kawan seperjuangan yang lain masih tetap berminat menyusahpayahkan diri ke Arena Tertutup Bukit Kiara Equestrian & Country Resort.

Gila babi banyak orang par tepi jalan

Gila babi banyak orang park tepi jalan

Dalam pukul 3 petang aku pergi ke rumah ultimaweaponx dekat Seri Kembangan. Sampai kat sana, linkinstreet dah ada dalam bilik dia tidak berseluar. Si ultimaweaponx pulak berlenggeng tanpa baju. Panas katanya. Pelik juga kusakabemisao tiada di situ. Memang yang dah berbeli tiket cuma aku, linkin dan ultima. Misao mahu membeli tiket di tempat kejadian nanti. Rupa-rupanya dia dah pergi ke Little Akiba kejap pasal nak main Weiss Schwarz punya pasal. Sambil lepak-lepak di bilik dengan menonton Animelo 2009 Blu-ray rip yang dimuatturun tempoh hari, sampai pula misao tidak lama kemudian. Nak dekat pukul 5, memang dah rasa nak gerak pergi ke tempat konsert sebab mungkin terpaksa beratur kalau nak beli tiket untuk misao tapi terpaksa menunggu Eccentrical dan Czero pula. Sebab hujung minggu sebegini memang budak-budak ni selalu datang bermain Playstation 3 kat sini. Tapi tak lama lepas tu sampai juga mereka. Eccentrical tiba-tiba mendapat panggilan telefon dari ayahnya yang dia dapat tiket percuma ke konsert. Sambil rasa tertipu, Czero pun terpaksalah lepak kat dalam bilik ultima sorang-sorang sambil kami berlima bertolak pergi ke sana dengan kereta kepunyaan ultimaweaponx.

Dah la hujan

Dah la hujan

Jauh juga tempat tu. Dalam perjalanan pula tiba-tiba hujan, memang meresahkan hati habis. Sebab tak pernah pergi tempat tu, agak curiga juga kalau konsert tu tempat terbuka. Tapi memang bangang la kalau nak fikir balik sebab kat tiket kami ni dah terang-terang tulis kat situ Indoor Arena. Ambil masa juga nak ke sana. Kebetulan pula adik Eccentrical juga dah sampai ke sana, dia pun menyuruh adiknya belikan tiket untuk misao. Lega sikit hati misao tak payah fikir nak beratur-beratur kat kaunter tiket sana. Tapi satu hal pula sebab nak kena jumpa dulu nak beri tiket tu. Terpaksa melencong kejap ke Taman Tun Dr Ismail. Dari TTDI tu pula pergi ke arah Bukit Kiara balik. Waktu macam ni memang banyak kenderaan kat tengah jalan. Dalam pukul 7 lebih camtu, kami dah dekat kat tempat tersebut bila tengok banyak kereta dah mula diletakkan di bahu jalan. Memang sangkut abis kat persimpangan bawah tu sebab kami fikir lebih baik kalau buat pusingan U dahulu dan letak kereta di seberang jalan supaya senang balik. Jauh juga la letak kereta tu. Ada la kot dalam 1 km. Sebab jarang bersenam, cungap-cungap gak berjalan kaki jauh macam tu.

Sempat Google Latitude kat iPhone

Sempat Google Latitude kat iPhone

Sambil berjalan, sambil aku cuba mengingati tempat. Yelah kan,  mana tau terlupa tempat letak kereta tadi. Ada papan tanda, ada dahan jatuh ke tanah, senang nak ingat. Kereta yang letak kat sebelah depan ni pula nombor plat dia bermula dengan PEW. Cantiklah tu. Hujan renyai-renyai tapi tak kisah sangat. Ultima dengan misao laju pula jalan ke depan. Bila hampir ke tempat persimpangan tadi, lagi ramai manusia. Masing-masing kelihatan gagah dengan baju t-shirt hitam bercap Wings atau Search atau kedua-duanya sekali. Ada juga yang sempat bertanduk merah macam syaitan. Peniaga-peniaga tepi jalan pula begitu ramai. Memang ambil kesempatan habis. Dah jalan 1 km tadi memang dahaga abis. Memang dasar banyak lemak. Singgah beli air botol kosong sekali RM 2 pula. Sial sungguh. Padahal harga kos sebotol 50 sen jer. Macam la aku tak tau. Tapi sebab sejuk diletakkan dalam bekas berais, memang layan sungguh minum. Mula-mula ingat nak bawa masuk botol ke dalam, rupanya dekat pagar tiket tu penjaga situ beritahu yang makanan dan minuman dari luar tidak dibenarkan masuk. Patut banyak sampai kat pagar pintu masuk tu. Perasan juga ada tin-tin minuman arak dicampak di situ. Ada juga manusia nak mabuk-mabuk kat dalam macam hilang agama. Tapi masa dekat pintu tadi tu perasan takde nampak ultima dengan misao. Pelik juga pasal mereka berdua ni yang jalan laju semacam. Rupanya mereka ni salah menuju tempat. Boleh pula mereka terpergi ke arah bertentangan.

Sempat ambil gambar sambil tunggu

Sempat ambil gambar sambil tunggu

Aku pun mula beratur untuk masuk ke dalam. Lepas kena periksa dengan pengawal, aku pun dapat masuk. Bak kata otaku, kena chikan. Habis poket seluar kena tengok. Siapa-siapa bawa beg memang kena selongkar. Bila dah lepas tu, tunggu kejap kat tepi tiang ada amaran kuda melintas. Empat orang lepas kecuali ultima. Boleh pula dia bawa kamera dalam poket. Pengawal-pengawal tu tak bagi dia masuk. Tapi walaupun  agak ketat kawalan, ada saja aku nampak kamera lepas masuk. Sambil ultima berpatah balik, dia sangkut kamera dia ke belakang leher sambil memakai baju hujan. Baru dapat masuk. Sebab pengawal cuma periksa dekat poket. Ketawa berdekah-dekah juga sambil membuat lawak berkenaan dengan kuda sebab ni kan tempat ekuestrian.

Beri laluan kepada kuda-kuda

Beri laluan kepada kuda-kuda

Dengan manusia yang ramai sebegini, kami pun memulakan langkah ke dalam, ke tempat konsert. Hek eleh, ada rupanya gerai-gerai lain kat dalam. Boleh saja nak beli minuman kat sini. Sebab gerai-gerai kat sini semua yang sponsor konsert ni. Poyo benar mereka tak bagi bawa masuk makanan luar. Jalan licin sebab hujan. Selipar aku pun agak licin. Memang la tak pasti kalau terpijak taik kuda atau tanah liat sebab keadaan bergantung kepada cahaya lampu yang kekuningan. Dekat tangga pintu masuk arena ramai pula yang lepak. Kami pun naik ke atas. Bila dah ke atas, memang dah ramai manusia. Kawasan ekuestrian yang sepatutnya berpasir dah dilitupi lantai batu. Jadi, ramai dah turun ke bawah. Sebelah depan pentas memang penuh. Agaknya dari tadi mereka dah masuk sambil berdiri di situ. Kawasan yang ada kerusi duduk pula memang payah nak cari kosong. Sedangkan tangga pun orang dah duduk. Mulanya nak turun ke bawah juga. Tapi masa berjalan ke belakang, ada pula tempat yang agak cantik untuk lepak. Sebelah hujung bertentangan dengan pentas. Walaupun jauh, tapi boleh la untuk nampak pentas. Masa ni memang badan dah berpeluh habis. Bau jangan cerita la. Bau badan orang sebelah pun boleh bau. Lagi kuat dari bau taik kuda kat bangsal belakang. Masa ni juga sempat berjumpa firedauz. Berminat juga dia nak tengok konsert ni walaupun dah bertahun dia duduk kat Jepun.

Manusia berpusu-pusu di tangga

Manusia berpusu-pusu di tangga

Masa dah lepak kat sebelah belakang tu, tempat dah lebih separuh penuh. Kira-kira sejam sebelum bermula, dah mula penuh dan ramai lagi masih berpusu-pusu masuk. Sebelum ke sini tadi, dah tengok di laman sesawang yang tiket dah terjual kira-kira 11,000 daripada 15,000 tiket. Tak pasti lagi yang baru dijual di kaunter luar pintu. Sambil menunggu konsert bermula, sempat pula DJ berbuat lawak dengan orang-orang ramai di sini. Tukang-tukang kamera pula rajin memfokuskan kamera mereka ke arah gadis-gadis di bawah terutama sekali yang kelihatan berseorangan. Di antara pengunjung-pengunjung, memang ramai lelaki berbaju hitam. Aku sendiri pun. Tak kurang juga yang membawa pasangan. Ada yang membawa keluarga. Sempat pula yang membawa tikar sambil duduk di lantai batu. Keadaan mula panas. Haba menambah lagi keperitan bau tapi konsert masih belum bermula…

Nak penuh abis la ni

Nak penuh abis la ni

Jam menunjukkan 8:45 pm tapi masih belum bermula pun konsert. Agaknya memang mengikut piawai SIRIM yang konsert mesti bermula lambat sikit. Dalam pukul 9 pm baru lampu-lampu limpah di siling arena ni mula ditutup. Orang memula menjerit sakan walaupun bulu hidung Awie atau Amy kelihatan. Tak lama kemudian, mereka pun mula menaikkan tirai dan gemaan daripada jeritan penonton menjadi lebih kuat. Kesemua ahli kumpulan Wings dan Search di atas pentas. Maka bermulalah konsert.

Tatkala menyanyikan Isabella

Tatkala menyanyikan Isabella

Konsert ini sangat hebat. Aku sendiri tak mampu meluahkan perasaan tentang kehebatannya. Drum lawan drum. Gitar lawan gitar. Vokal lawan vokal. Masing-masing mantap. Penonton, seperti biasa, mengikut nyanyian yang bergema habis. Takut juga aku kalau-kalau ada kuda-kuda di bangsal-bangsal ada yang mati terkejut. Pelik juga aku kerana sebelum ni aku pernah belajar menunggang kuda dan jurulatih pernah berkata kuda senang terkejut dengan bunyi bising. Tapi di sini aku peduli apa sebab dah bayar RM 70 untuk konsert ni. Cerita tentang harga tiket, aku agak terbeliak mata bila ada orang cakap tiket mahal. Untuk konsert yang hebat macam legenda rock ni, RM 100 pun aku sanggup bayar. Sebelum ni ada dua konsert yang pernah aku pergi walaupun kedua-dua konsert itu melibatkan artis-artis yang kurang dikenali peminat tempatan. Konsert Chihara Minori yang aku pergi tahun lepas misalnya, aku sanggup bayar sampai RM 250 sebab dapat tandatangan beliau. Kalau untuk mereka yang berminat menonton sahaja perlu membayar RM 150. Kemudian untuk konsert May’n beberapa bulan yang lepas, tiket konsert beliau mencecah RM 218 (RM 198 kalau beli sebelum hari konsert bermula). Walaupun untuk konsert May’n, aku pergi secara percuma atas nama media. Tiket-tiket konsert untuk artis-artis luar ini bukan sahaja mahal, malah persembahan mereka lebih kepada nyanyian dan sedikit tarian tanpa melibatkan kugiran asli di belakang. Seperti yang kita tahu, bukan murah untuk bawa mereka ke sini dan mereka sangat hebat dalam memberikan persembahan. Untuk tiket persembahan konsert Double Trouble ini, aku rasa sangat murah memandangkan ahli-ahli kumpulan memaparkan kemahiran memainkan alat-alat muzik mereka dengan begitu tinggi. Amatlah tidak berpatutan sekiranya orang-orang mahukan tiket yang lebih murah. Dah tahun berapa ni bang nak mintak harga murah-murah? Harga minyak dah lama naik abang oi.

Ni masa nak balik pula

Ni masa nak balik pula

Medley ketika akhir-akhir konsert memang cemerlang. Walaupun Awie kadang-kadang cakap berterabur, aku memang rasa beliau patut jadi penyanyi saja daripada ahli politik. Amy yang botak dan berbadan kecil tu pun kelihatan bersemangat sungguh. Tak padan dengan usia beliau yang hampir 52 tahun. Ada la juga beberapa kali Awie membuat lawak gay di atas pentas sambil berpeluk-peluk dengan Amy yang berpeluh-peluh. Walaupun begitu, tabiat pengunjung yang membuatkan aku tertarik untuk berbicara. Ramai juga mereka-mereka yang sudah berumur datang. Seperti yang aku katakan tadi, ada yang bawa keluarga dan anak-anak. Ramai juga remaja-remaja yang datang. Yang merokok tu perkara biasa. Paling tidak pun, bau rokok ni boleh la juga tutup bau badan masing-masing. Yang membawa pasangan ni tak habis-habis berpeluk. Awek di depan, yang jantan memeluk dari belakang sambil kepala di bahu. Agaknya si lelaki tu suka gesel-gesel janggutnya di leher awek tersebut. Tapi masa nak keluar dari arena tu memang rapat habis. Lagi sikit je nak sama macam aku buat tawaf kat Masjidil Haram 15 tahun yang lepas. Cuma kali ni masing-masing berpeluh. Aku lawak tengok pasangan sebelah ni. Yelah kan awek kat depan, si lelaki kat belakang bertolak-tolak. Layan je la orang-orang sebelah depan dapat rasa tetek awek dia. Tolol betul. Baik yang laki tu jalan belah depan. Masa tengah berjalan tu, ramai pula penjual-penjual sibuk kat pintu pagar menjual airdan makanan. Dah la sesak, menyesakkan lagi. Tapi memang aku dahaga dan lapar gila. Dah pukul 12 malam. Dah lebih 5 jam aku berdiri kat dalam tadi. Beli air kelapa sambil menelan beberapa cucuk bebola goreng aku pun kemudian meneruskan berjalan kaki ke arah kereta. Masa ini keadaan agak kucar-kacir sampai aku tak jumpa kawan-kawan seperjuangan yang datang bersama-sama tadi. Sebagai panduan, tunggu di kereta sajalah. Bila dah jauh berjalan sampai ke kereta, memang ada yang dah ada kat sana. Tapi nak bergerak keluar tak dapat sebab double-parking. Memang tapak tangan ke muka betul. Terpaksa la menunggu dalam kereta sambil memasang penyaman udara. Tak lama kemudian, kereta depan yang bernombor plat PEW tu bergerak keluar dan kereta kami pun mempunyai ruang untuk bergerak. Maka kami terus ke Seri Kembangan dan kemudiannya aku pun pulang ke rumah di Bangi. Dengan hanya berseluar dalam, aku kepenatan di atas katil sambil terus tertidur tanpa menutup lampu bilik.

Related Posts

  • Hari PahlawanHari Pahlawan (7)
    Hari ini adalah hari peringatan untuk semua wira-wira yang mempertahankan tanah air Malaysia dan juga kepada mereka yang berkhidmat di bawah panji kebesaran negara tanpa mengira dari […]
  • Miku Commands You to Vote for Malaysia!Miku Commands You to Vote for Malaysia! (3)
    Hear that lads? Vote for Malaysia goddamn it! Go to this Hatsune Miku World Tour site, post comment at the first blog post and make sure your text field for Country is written as […]
  • Accumulated StuffsAccumulated Stuffs (7)
    Huh, basically I am not sure where should I begin. Perhaps I should make separate blog posts about different things. Then again, I am kinda lazy to do that. What a hassle. But if I put […]
  • Bad Apples @ MAGe 2010Bad Apples @ MAGe 2010 (6)
    So, our band went to Nilai University College in Nilai, Negeri Sembilan (hell, nowhere that near to Seremban as they said) for MAGe Festa 2010 on Saturday, June 27. Nothing much that I can […]
6 Comments

Leave a Reply